Semua perkara yang ingin anda ketahui ada di sini.

Penduduk Kampung Pokok Asam dakwa ditipu

♠ Posted by Unknown in at 6:48 PTG
GEORGETOWN: Penduduk Kampung Pokok Asam di sini yang diarah mengosongkan rumah mereka untuk memberi laluan kepada projek perumahan dan pembinaan tapak perkuburan, mendakwa tertipu ketika menandatangani borang persetujuan penyerahan tanah lebih sehektar itu pada 2010.

Timbalan Pengerusi Persatuan Bertindak Penduduk Jelutong Timur, Kamariah Ahamed, mendakwa lebih 10 penduduk menandatangani borang persetujuan penyerahan tanah melibatkan lot 10, 11, 12, 17, 18 dan 19 secara tidak sengaja pada 2010 kerana diberitahu ia adalah borang bancian.Sambil kesal perkara itu dijadikan modal untuk mengambil tanah mereka, beliau mendakwa borang yang dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut itu mengelirukan penduduk selain tidak mempunyai logo kerajaan negeri.

Kamariah berkata, berdasarkan sesi dialog bersama Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Sabtu lalu juga mendapati banyak perkara tidak dapat dijelaskan dengan terperinci oleh kerajaan negeri.

"Timbalan Ketua Menteri menyatakan persetujuan akan menyiasat mengenai pengedaran borang itu dan beliau berjanji akan mengatur satu lagi sesi pertemuan dengan penduduk dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, peluang dan tawaran untuk penduduk tidak jelas sedangkan arahan mengosongkan rumah dikeluarkan sebanyak dua kali iaitu berkuat kuasa 15 Jauari dan 15 Februari.

"Kami harap dengan berjumpa kerajaan negeri, isu ini selesai tetapi sebaliknya lebih banyak persoalan yang timbul," katanya.
Berikutan itu, penduduk dijanjikan pampasan serendah RM28,600 hingga RM183,000 dan ditawarkan membeli seunit rumah kos sederhana rendah berharga RM72,500 tidak termasuk harga parkir selepas projek berkenaan siap.

Penduduk terbabit juga ditawarkan kos perpindahan sebanyak RM1,000 dan peruntukan bayaran sewa rumah RM500 sebulan selama tiga tahun dan perlu mencari rumah sewa sendiri.

Sementara itu, Mohd Rashid ketika dihubungi berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan penduduk itu serta meneliti semua tuntutan yang dikemukakan mereka dalam sesi dialog Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan kehendak penduduk yang mahu rumah gantian termasuk menuntut pampasan dinaikkan tiga kali ganda sebagai melampau.

"Kami ada piawaian yang diguna pakai sejak 2003 untuk tetapkan kadar pampasan itu...segala keputusan dibuat secara kolektif. Jsteru, kami minta penduduk bertenang sebelum keputusan muktamad dicapai," katanya.

- BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

Click plz..