♠ Posted by Unknown in ISU SEMASA at 12:11 PG

Mos dibawa ke HUS untuk rawatan lanjut. - FOTO ROSLAN ABDULLAH
Kuching: Seorang pemancing udang bertarung nyawa lebih 15 minit melepaskan diri dari gigitan buaya di Sungai Benat, Simunjan dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Mos Sebeli, 43, dari Kampung Benat, Simunjan pergi ke sungai berkenaan untuk memancing udang sebelum seekor reptilia ganas tiba-tiba muncul di permukaan air dan menyerangnya.
Mos berkata, ketika sedang asyik membetulkan mata pancing, beliau terkejut apabila tiba-tiba kaki kirinya digigit buaya dan beliau kemudiannya ditarik ke dalam sungai.
Beliau mengerahkan sekuat tenaga melawan buaya berukuran kira-kira dua meter itu dan berpegang pada dinding perahu bagi menyelamatkan diri.
Tendang kepala buaya
“Selepas hampir 15 minit saya bergelut dan dalam keadaan tercungap-cungap kerana tenggelam dan timbul ketika melawan buaya itu, saya menendang kepalanya sekuat mungkin beberapa kali dan akhirnya buaya itu melepaskan cengkamannya.
“Dengan keadaan kaki kiri yang patah, saya naik ke tebing sungai untuk mendapatkan bantuan penduduk berhampiran,” katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Mangsa dibawa ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dirujuk ke HUS untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.-Berita Harian
0 ulasan:
Catat Ulasan