Semua perkara yang ingin anda ketahui ada di sini.

Lebih 1,400 jemaah haji Malaysia tiba di Madinah

♠ Posted by Unknown in at 10:23 PTG
MADINAH: Seramai 1,458 jemaah haji dijangka tiba di sini hari ini bagi acara ziarah sebelum bertolak ke Makkah untuk mengerjakan ibadah haji.
Pagi ini dua penerbangan yang membawa seramai 900 jemaah Malaysia tiba secara berperingkat.
Kumpulan pertama seramai 450 jemaah tiba pada 5 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia) di Lapangan Terbang Prince Mohammad Bin Abdulaziz di sini.
Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.30 pagi waktu Malaysia.
Sementara itu, kumpulan kedua seramai 450 jemaah pula yang berlepas dari KLIA 5.30 pagi waktu Malaysia tiba 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia).
Sementara dua lagi penerbangan iaitu penerbangan keenam dan ketujuh dari Malaysia dengan masing-masing membawa 279 jemaah dijangka tiba lewat petang ini.
Penerbangan keenam dijadual berlepas pada 12.30 tengah hari waktu Malaysia dan dijangka tiba pada 4.15 petang waktu tempatan (9.15 malam waktu Malaysia) dan penerbangan ketujuh akan berlepas 1.30 tengah hari waktu Malaysia dan dijangka tiba 5 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia).
Dengan ini, jumlah jemaah haji Malaysia yang telah tiba di Madinah sejak Rabu ialah seramai 2,466 orang.
Sementara itu, jemaah yang tiba semalam dan awal pagi ini telah dibawa untuk ziarah Masjid Nabawi, termasuk kawasan Raudah tempat Nabi Muhammad SAW serta sahabat Baginda, Saidina Abu Bakar As Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab dimakamkan.
Mereka juga dibawa ke Baqi' iaitu kawasan perkuburan keluarga Nabi Muhammad SAW termasuk isteri-isterinya, serta ribuan sahabat Baginda.
Sementara itu, Pengarah Operasi Kewangan Musim Haji 1435 Hijrah, Anisuati Yahya berkata sembilan kaunter pengeluaran wang daripada akaun simpanan Tabung Haji telah beroperasi sejak dua hari lepas di kedua-dua tempat penginapan jemaah haji iaitu di Hotel Al Haram dan Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick.
Waktu operasi semua kaunter adalah dari 7 pagi hingga 12 tengah hari, dari 4.30 petang hingga 6.30 petang dan dari 7 malam hingga 10 malam.
"Tabung Haji membawa seramai 45 petugas untuk perkhidmatan itu dengan seramai 35 orang ditugaskan untuk mengendalikan kaunter termasuk 24 kaunter di tujuh lokasi di Makkah," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, tahun ini Tabung Haji turut memperkenalkan Kad Debit-i Mastercard iaitu penyimpan Tabung Haji yang memiliki kad berkenaan boleh menggunakannya 24 jam untuk membuat transaksi pembelian.
Menyentuh berhubung dam haji, katanya harga bagi seekor kambing atau kibas ialah SR450 (1 SR > RM0.84) dan seekor unta SR3,500 manakala untuk korban pula harga seekor kibas atau kambing adalah SR490 SR dan seekor unta SR3,700.
"Perbezaan harga antara dam dan korban adalah kerana tempoh masa bagi korban," katanya.
- BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

Click plz..